Wednesday, April 13, 2011

Teknik Menjawab Geografi 1 & 2 STPM

PANDUAN AM KEPADA CALON


 1.1 Sukatan baru Geografi STPM yang diperkenalkan pada tahun 1996 dan edisi semakan (2006) hanya mengandungi dua kertas sahaja. Iaitu Geografi Kertas -1 942/1 Kertas Alam Sekitar Fizikal dan Geografi Kertas 2 – Kertas Alam Sekitar Manusia. Pendekatan menjawab bagi ke dua-dua kertas tersebut dan sistem pemarkahannya hampir sama sahaja berasaskan konsep ISI + HURAIAN + CONTOH.

1.2 Geografi kertas 1  mengandungi   8 soalan semuanya dan calon-calon dikehendaki pilih dan jawab empat soalan sahaja dalam jangkamasa 3 jam. Begitu juga dengan Geografi Kertas 2, akan dikemukakan 8 soalan dan calon dikehendaki pilih serta jawab 4 soalan sahaja dalam jangka masa 3 jam. Mulai tahun 2006, soalan nombor 3, terdiri daripada 2 soalan pilihan (SAMADA dan ATAU). Calon hanya perlu pilih SALAH SATU SOALAN SAHAJA. Bagi Geografi kertas 1, soalan nombor 3 adalah dari tajuk sistem geomorfologi manakala bagi Geografi kertas 2, soalan nombor 3 nya dari tajuk pembangunan ekonomi dan impak alam sekitar.

1.3 Ini bermakna calon hanya mempunyai masa lebih kurang 45 minit sahaja untuk menjawab setiap soalan tersebut.  Setiap soalan akan berbentuk pecahan (a,b atau c), tidak lagi soalan khusus/soalan langsung seperti sukatan lama. Setiap soalan sekurang-kurangnya mengandungi 2 atau 3 pecahan dan setiap pecahan soalan diberikan wajaran markah di hujungnya  dalam tanda kurungan. Jumlah markah bagi setiap soalan apabila dicampurkan wajaran-wajarannya akan bernilai 25 Markah. Wajaran markah ini memberikan pandu arah yang amat berguna kepada calon untuk merancang jawapan masing-masing.  Ingat! Agehkan masa yang lebih lama kepada wajaran markah yang besar dan jangan terlalu menumpu kepada soalan yang wajaran markahnya sedikit.

1.4 Soalan-soalan yang dikemukakan boleh terdiri daripada satu tajuk khusus, satu sub-tajuk khusus,  gabungan beberapa tajuk  atau gabungan beberapa sub-tajuk. Jadi elakkan diri daripada meninggalkan mana-mana tajuk dalam sukatan. Pelajari semua, tetapi sesuatu tajuk atau sub tajuk  itu tidak perlu terlalu mendalam sepertimana dalam sukatan lama sebelumnya. Dalam hal ini amat perlu bagi calon menganalisis soalan STPM 2000 hingga 2007 untuk melihat corak atau bentuk soalan yang ditanya ,tema-tema yang dijangka penting untuk difokuskan, trend soalan,taburan tajuk,aras soalan,konsepsi soalan dan lain-lain. Cuba dapatkan khidmat-bantu dari guru anda.

2.0 KENALI BENTUK SOALAN


Ada tiga bentuk soalan yang begitu popular ditanya iaitu soalan bersifat langsung (directly Questions), soalan kemahiran amali yang melibatkan persembahan kartografi,  dan juga soalan berasaskan Kajian  luar (Kajian  Lapangan). Ketiga-tiga bentuk soalan ini memerlukan  pendekatan menjawab yang berbeza-beza.

2.1 Strategi Menjawab Soalan Langsung.

2.1.1    Soalan langsung adalah soalan yang ditanya terus tanpa melibatkan banyak rangsangan dan referent. Ia biasanya mempunyai 2 hingga 3 pecahan  yang diberikan wajaran markah masing-masing.

2.1.2.   Jika satu-satu soalan itu terdiri daripada 3 pecahan, urutan soalannya mungkin seperti berikut: Bahagian a) = soalan konsep/definisi/bezakan makna/apakah yang dimaksudkan dan lain-lain yang seumpamanya. Bahagian b) = Soalan huraian/penjelasan/penerangan seperti ; huraikan,jelaskan,terangkan,mengapakah dan seumpamanya. Bahagian c) = soalan bersifat aplikasi seperti cadangkan,analisakan,ulaskan,komen, bincangkan dll yang setaraf dengannya.

2.1.3.   Urutan soalan begini sebenarnya cuba mengukur pemikiran pelajar dari aras bawah kepada aras tinggi. Justeru itu strategi belajar calon juga mestilah  pelbagai aras untuk satu-satu tajuk.  Tidak boleh kita mempelajari sesuatu tajuk itu secara persembahan dan penghuraian fakta semata-mata. Ada tajuk yang perlu dikupas, dibahaskan,dibincangkan,diulaskan,dibuat ramalan,dibuat perbandingan dan sebagainya. Justeru itu amat penting untuk kita memahami bentuk, aras dan kehendak setiap kata kunci dalam soalan.
           
2.1.4.   Di antara contoh soalan langsung yang akan dibincangkan di sini adalah seperti berikut:

Pilih sebuah negara di rantau Asia Pasifik;

a)         Nyatakan ciri kependudukan (demografi) negara tersebut.                   (5 Markah)

b)         Jelaskan mengapa negara tersebut perlu memperlahankan kadar pertumbuhan penduduknya.                                                                                                  (10 Markah)

b)         Cadangkan langkah-langkah yang patut diambil untuk mengurangkan masalah lebihan penduduk di negara berkenaan.                                                         (10 Markah).
      
2.1.5.   Bagi menjawab soalan di atas, calon perlu menamakan dahulu negara yang dipilih. Misalnya Indonesia. Seterusnya calon perlu menyatakan ciri-ciri demografi negara berkenaan. Menyatakan tidak perlu menghurai. Cukup sekadar sebaris dua ayat sahaja bagi setiap ciri yang dinyatakan. Bahagian b) calon mestilah menjelaskan sebab-sebab negara Indonesia perlu memperlahankan pertumbuhan penduduknya.
Cuba sediakan sekurang-kurangnya 6  sebab bagi soalan (b) di atas. Setiap sebab mestilah dijelaskan dengan detail antara 6 hingga 7 baris bagi setiap isi yang dikemukakan. Setiap isi yang dihurai mestilah distruktur mengikut perenggan yang berlainan. Ini bermakna jika anda ada 6 isi ia mestilah dihurai dalam 6 perenggan yang berlainan. Bagi soalan (c) pula calon juga perlu sediakan 6 cadangan yang sesuai dan setiap cadangan perlu dihurai dengan sebaik mungkin.
           
2.1.6.  Setiap judul isi yang diberi  mestilah dijelaskan sebaik mungkin dengan sokongan contoh-contoh yang konkrit dan bukannya dibiarkan dalam bentuk senarai isi (Listing) sahaja.  Ini kerana sistem penilaian jawapan dibuat berasaskan konsep Analitikal dan Impression atau Isi/Point dengan huraian.  Sebutan isi yang  relevan,betul dan tepat dengan kehendak soalan akan diberikan markahnya secara khusus manakala huraian yang baik,betul,relevan,memenuhi kehendak soalan,padat bersama dengan sokongan contoh yang sesuai juga akan dianugerahkan markahnya. Jumlah markah yang diberi bergantunglah kepada peruntukkan markah yang disediakan untuk setiap judul isi berkenaan. Lazimnya markah untuk huraian lebih tinggi nilainya berbanding dengan markah untuk isi sahaja. Justeru itu, pemarkahan akan diberikan kepada jawapan yang mempunyai kombinasi antara ISI dengan HURAIAN  dan bukannya kepada isi semata-mata. Dalam hal ini kualiti jawapan calon amat bergantung kepada kualiti dan kekuatan huraiannya.

2.1.7.   Sistem penilaian begini mempunyai implikasi seperti berikut:

a) Jangan sekali-kali mengulang isi atau mengulangi  huraian. Isi dan huraian yang berulang tidak diambil kira.

b) Jangan sekali-kali terlalu mendetailkan huraian pada satu-satu isi sahaja sehingga isi yang lain amat cetek huraiannya. (huraian tidak seimbang). Ini kerana jika sesuatu isi itu misalnya diperuntukkan 2 markah maka ia hanya boleh dianugerahkan 2 markah sahaja, tidak lebih daripada itu. Huraian yang terlalu panjang berjela untuk satu-satu isi akan diberikan Awarded (Sudah tepu/maksima).

c) Sebaik-baiknya lebihkan isi dan huraiannya menjadi 6 atau 7 isi sebagai Reserve. Ini untuk mengelakkan berlakunya isi atau huraian yang berkemungkinan diletakkan di bawah judul isi yang sama (tindanan isi) dalam skemanya nanti. Jika ini berlaku calon masih mempunyai lebihan satu atau dua isi yang membolehkan mereka masih mampu  memperolehi markah yang maksima.

d) Selain itu, sistem ini juga  memerlukan calon membuat perenggan jawapan yang baik. Misalnya jika calon  ada 6 judul isi bermakna  mesti ada 6 perenggan yang berasingan. Setiap perenggan mesti ada Fakta atau Isi (F) , Diikuti oleh Huraian (H) dan Dilengkapi dengan Contoh (C).   Formula F:H:C mestilah dipatuhi. Calon juga boleh mengemukan Fakta dahulu diikuti oleh  Contoh kemudiannya berdasarkan contoh-contoh tersebut ia membuat Penghuraian. Apa yang penting, Fakta atau Isi mestilah diserlahkan dalam ayat pertama bagi setiap perenggan. Jangan sekali-kali menyembunyikan fakta/isi diakhir ayat pada perenggan. Aspek contoh pula tidak semestinya merujuk kepada tempat semata-mata, ia boleh jadi data, fenomena atau nama sesuatu subjek misalnya bangsa,ciri dan lain-lain bergantunglah kepada kehendak dan situasi soalan.

e) Akhir sekali,  sistem pemarkahan begini juga tidak memerlukan Pendahuluan dan Penutup yang panjang berjela. Kerana ia tidak mempunyai apa-apa peruntukan markah kepada aspek pendahuluan atau penutup. Pendahuluan dan penutup cukup sekadar satu atau dua baris ayat sahaja sebagai pengenalan kepada apa yang diminta oleh soalan.

2.2 Strategi Menjawab Soalan Kemahiran Amali.

Soalan kemahiran amali memerlukan calon bersedia dalam dua aspek. Pertama,  kemahiran untuk mempersembahkan data-data yang diberi oleh soalan kepada bentuk kartografi yang diminta dan kedua, kemahiran untuk menganalisis mengenai apa yang dapat ditunjukkan oleh persembahan kartografinya, misalnya menganalisis bentuk dan trend sesuatu graf. Walau apapun bentuk persembahan kartografi boleh diminta oleh soalan tetapi sistem penilaiannya adalah konsisten tertumpu kepada aspek-aspek berikut:

2.2.1.   Tajuk yang betul dan tepat. Tajuk mesti ditulis. Sesuatu tajuk yang ditulis mestilah dapat menggambarkan kaedah kartografi yang diguna serta apa yang diwakilinya. Misalan “Graf Bulatan Menunjukkan Min Suhu Bulanan di Cameron Highland, Pada Tahun 2008”, Peta Aliran Menunjukkan Migrasi Luar Bandar ke Kuala Lumpur,Pada Tahun 2008”.  Sebaik-baiknya tajuk ditulis di ruang paling atas bagi sesebuah peta,graf,carta dan lain-lain persembahan kartografi.

2.2.2.   Pemilihan skala yang sesuai. Skala yang dipilih mestilah sesuai untuk mewakili semua data dalam soalan. Dalam hal ini ada dua jenis skala yang boleh dipilih oleh calon. Pertama skala Aritmetik seperti  1 CM : 50,000 Orang atau ke dua skala Geometri yang melibatkan nilai punca kuasa dua seperti  1 CM : 100 unit Puncakuasadua

Kedua-dua jenis skala ini berbeza daripada segi penggunaannya. Skala Aritmetik diguna sekiranya bezantara data-data yang diberi tidak terlalu besar manakala Skala Geometri diguna-pakai sekiranya bezantara data-data yang diberi terlalu besar perbezaannya khususnya antara nilai maksima dengan minima. Harus diingat sekiranya anda menggunakan skala geometri anda mestilah terlebih dahulu mempunca-kuasaduakan semua data yang diberi dan terpaksa berkerja dalam unit punca kuasadua. Pemilihan skala yang sesuai amat penting bagi memudahkan dan menghasilkan kerja-kerja plotan yang tepat dan bermutu. Sebagai panduan skala yang diguna mestilah ditulis/dinyatakan di penjuru sebelah kanan sesuatu persembahan kartografi dan ia berada di bawah daripada tajuk.     

2.2.3.   Pengiraan nilai  terhadap data yang diberi oleh soalan. Data yang diberi perlu dikira  dengan menggunakan skala yang telah dipilih oleh calon dan sebaik-baiknya pengiraan tersebut ditunjukkan dalam bentuk jadual serta dihantar bersama-sama jawapan anda.

2.2. 4.  Menyediakan petunjuk. Petunjuk amat penting sebagai indikator yang diguna untuk mentafsir sesuatu persembahan kartografi. Tanpa petunjuk, persembahan kartografi yang dibuat adalah tidak lengkap. Justeru ia mesti disediakan. Lazimnya petunjuk di letakkan di ruangan bawah sebelah kiri  graf, carta,rajah,peta dan sebagainya.

2.2. 5.  Membuat Plotan. Merujuk kepada apa yang dapat anda persembahkan. Misalnya garisan bagi graf garis, palang/turus bagi graf bar, bulatan bagi carta pai, garis aliran bagi peta aliran, lorekan bagi peta koroples dan sebagainya. Penilaian pada aspek plotan  amat bergantung kepada sejauhmana anda dapat menyiapkannya, ketepatan plotan atau tandaan mengikut skala yang diguna dan juga kesan-nampak (Visual  effect). Justeru plotan harus dibuat dengan teliti dan jelas. Misalnya anda boleh menggunakan warna yang berbeza asalkan ia tidak menyalahi teknik-teknik kartografi.

2.2.6.   Kebersihan dan kesempurnaan. Ia merupakan satu nilai estetika yang diberi kepada kerja-kerja persembahan kartografi calon yang kemas, bersih,cantik, lengkap dan sempurna. Sebenarnya ia lebih merupakan satu bonus kepada kualiti hasil kerja calon.

Seperkara yang mesti diingatkan apabila calon bersedia untuk menjawab soalan kemahiran amali ialah ia mesti membawa kelengkapan alat tulis yang secukupnya. Sekurang-kurangnya ia mesti ada sebuah Kalkulator, satu set geometri yang dalamnya mengandungi jangka lukis, jangka sudut,pemadam,pembaris,pensel yang pelbagai warna dan lain-lain alat yang bersesuaian.

            Pengalaman pemeriksaan yang lalu membuktikan calon hanya berupaya menghasilkan persembahan kartografi yang baik tetapi amat lemah dalam bahagian menganalisis graf,rajah,carta,peta dan sebagainya. Harus  diingat bahawa soalan kemahiran amali tidak semata-mata melibatkan kerja-kerja kartografi sahaja. Sebahagian markahnya terletak pada aspek-aspek pentafsiran,analisis,ramalan dan lain-lain yang berkaitan dengan bahagian amali yang ditunjukkan.

Apabila menjawab soalan analisis, calon tidak boleh mengulas data semata-mata. Tidak cukup sekadar memberikan angka-angka perubahan, menyatakan peratus, naik-turun data dan sebagainya yang hanya melibatkan unsur kuantitatif sahaja. Setiap ulasan data mestilah disokong dengan alasan atau sebab-sebab yang relevan dan menasabah, merumuskan pola dan trendnya, meramalkan kemungkinan yang boleh berlaku akibat sesuatu pola yang dapat ditunjukkan oleh graf, rajah,carta atau peta yang telah dilukis berdasarkan kemahuan soalan. Dalam hal ini sebab dan alasan boleh diambil daripada pengentahuan geografi  yang telahpun  calon pelajari khususnya di bilik darjah. Justeru itu unsur-unsur kuatitatif mestilah digabungjalinkan dengan unsur kualitatif semasa calon menjawab soalan yang berkaitan dengan analisa ini.

2.3 Strategi Menjawab Soalan Kajian Luar.

Soalan kajian luar merupakan soalan yang popular ditanya. Setiap tahun soalannya sentiasa dikemukakan. Bagi menjawab soalan kajian luar atau kajian lapangan, seseorang calon seharusnya memahami  Tiga  konsep berikut:

2.3. 1.  Konsep Lapangan.

Kawasan yang dikaji atau kawasan lapangan adalah merujuk kepada satu kawasan sahaja dan ia tidak boleh menyebutkan banyak kawasan atau merata-rata tempat. Konsep kawasan lapangan ini adalah spesifik dan kecil keluasannya. Umpamanya adalah amat mustahil seseorang calon itu boleh mengkaji secara kajian luar di seluruh negeri atau seluruh negara. Saiz kawasan lapangan yang boleh diterima seperti di sebuah kawasan taman perumahan, sebuah kawasan industeri, sebuah kawasan pembalakan, satu kawasan pelancongan, satu kawasan perlombongan, sebuah estet/ladang,  kawasan petempatan seperti satu rancangan Felda,sebuah kampung, sebuah mukim, sebuah daerah dan lain-lain kawasan yang mikro saiznya  yang boleh mencerminkan kemampuan pelajar/calon  membuat kajian  dalam jangkamasa yang  terhad. Apabila calon menjawab soalan kajian luar ini, kawasan kajian tersebut mestilah dinamakan dengan jelas,tepat dan lengkap.

2.3. 2.  Satu Jenis Aktiviti Ekonomi. Aktiviti ekonomi yang dikaji juga tidak boleh banyak. Ia perlu merujuk  kepada satu jenis sahaja. Umpamanya jika calon memilih aktiviti perindustrian maka segala perbincangan jawapan mestilah  berkait dan relevan dengan aktiviti perindustrian sahaja. Tidak boleh melompat kepada aktiviti ekonomi lain. Dalam konteks ini calon mestilah pandai memilih jenis aktiviti ekonomi yang paling banyak membawa kesan negatif kepada alam sekitar setempat yang telah dikajinya.

2.3.3.      Konsep Lokaliti.

Amat penting bagi  setiap isi yang dikemukakan dan dihuraikan dalam soalan kajian luar ini mestilah bersifat LOKALITI (merujuk kepada tempat yang dikaji). Ia boleh dibuktikan dengan nama-nama tempat, nama sungai, nama kilang, nama hotel dan lain-lain ciri persekitaran setempat yang menunjukkan fenomena geografi tempatan. Misalnya jika calon menggunakan konsep  pemanasan global, kesan rumah hijau, penipisan lapisan ozon   sebagai satu isi  jawapan untuk menjawab soalan kesan negatif persekitaran ia sama sekali tidak boleh diterima. Kerana ke tiga-tiga fenomena/kesan tersebut tidak merujuk kepada kesan di lokasi kawasan yang dikaji dan ia amat luas(Global) iaitu seluruh dunia sedangkan calon tidak mengkaji seluruh dunia!. Sepatutnya konsep tersebut digantikan dengan istilah  Pemanasan Setempat di kawasan yang dikajinya.


2.3.4.   Sebelum calon menulis jawapan yang berkaitan dengan kesan-kesan negatif  ke  atas alam sekitar, sesuatu jawapan kajian luar seharusnya dimulakan dengan perkara-perkara berikut:

a)         Menyatakan Tajuk Kajian.

Tajuk kajian mesti mengandungi apakah jenis aktiviti ekonomi yang dikaji dan dimana ia dikaji.  Misalan “ Kajian saya ialah terhadap aktiviti Pembalakan di Dabong, Dalam Daerah Gua Musang, Kelantan”. Calon juga boleh menceritakan secara ringkas lokasi/kedudukan kawasan yang dikajinya.

b)         Menyatakan Objektif Kajian:

Tujuan kajian luar dibuat mestilah disebut dengan jelas. Misalan “ Tujuan kajian saya ialah untuk mengenalpasti kesan-kesan persekitaran samada ke atas elemen geomorfologi, elemen ekologi,elemen hidrologi dan juga elemen atmosfera setempat akibat aktiviti pembalakan yang telah dijalankan di Dabong ini. Seterusnya mencadangkan langkah-langkah yang wajar diambil bagi mengurangkan kesan-kesan negatif tersebut”.

c)         Menyatakan kaedah kajian dan peralatan yang digunakan.

Di antara kaedah yang  sesuai disebut dalam kajian di atas ialah seperti kaedah pemerhatian dan pencerapan, kaedah temubual/soal selidik dan juga kaedah pengukuran. Alatanya pula seperti alat tulis, kamera, borang soal-selidik dan lain-lain yang bersesuaian.

2.3.5    Semasa calon menghuraikan jawapan bagi kesan-kesan negatif ke atas alam sekitar ia mestilah pandai memilih kesan-kesan yan relevan dengan aktiviti ekonomi yang dikajinya itu. Misalnya jika calon mengkaji aktiviti pembalakan adalah tidak relevan jika ia menghuraikan kesan terhadap pencemaran bau!.  Di antara kesan-kesan umum yang boleh disesuaikan dengan aktiviti-aktiviti ekonomi yang dikaji ialah seperti; Perubahan terhadap landskap fizikal; Hakisan tanah dan tanah runtuh; Banjir sungai (akibat dasar yang semakin cetek) dan banjir kilat; Pencemaran air; Pencemaran udara dan bau; kesan pemanasan setempat/iklim mikro; dan juga kerosakan ekosistem daratan dan akuatik seperti kemusnahan spesis dan habitat. Harus diingat apabila calon menghuraikan kesan-kesan negatif ini ia mestilah disokong dengan dapatan-dapatan daripada kajiannya. Huraian terhadap kesan tidak boleh secara umum sahaja, ia mestilah bersifat lokaliti. Sebagai contohnya jika calon menghuraikan kesan pencemaran air sungai ia mestilah menyatakan nama sungai yang terlibat, jika menghuraikan kesan hakisan tanah ia  mungkin boleh dibuktikan dengan kesan-kesan gegalur yang terdapat disekitarnya. Seboleh mungkin bukti/dapatan ini mestilah disebut agar jawapan anda kukuh dan benar-benar mencerminkan kajian luar.

2.3.6.   Apabila calon menjawab bahagian cadangan mengatasi kesan-kesan negatif terhadap alam sekitar, jawapannya mesti mengandungi ke tiga-tiga elemen berikut. Pertama, langkah perundangan dan akta. Seperti tindakan menyaman,denda (kompaun), menyitar  terhadap mana-mana pihak yang bertanggungjawab menimbulkan kesan-kesan negatif terhadap alam sekitar tersebut oleh pihak-pihak berwajib di sesuatu tempat, misalnya oleh Majlis daerah, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan lain-lain yang berkaitan dengannya. Ke dua, langkah pengurusan  seperti  menanam semula hutan; membina sistem perparitan; memperdalamkan semula sungai, merawat sisa, menapis asap dan lain-lain yang boleh difikirkan bersesuaian dengan jenis aktiviti ekonomi yang dikaji dan kesan negatif yang diakibatkan olehnya. Ke tiga, langkah kempen kesedaran dan kerjasama masyarakat setempat seperti gotong royong pembersihan sungai, kempen cintailah sungai kita, penghijauan kawasan sekitar dan lain-lain cadangan yang boleh meningkatkan kesedaran masyarakat agar peka kepada kesan persekitaran yang telah dibincangkan itu. Ketiga-tiga aspek ini mestilah ditulis dalam jawapan anda.

3..0 RUMUSAN


Berdasarkan perbincangan di atas, jelas menunjukkan bahawa sistem penilaian yang diguna dalam Geografi Kertas 1 dan 2 STPM amat menguntungkan pelajar. Sebenarnya pelajar mudah memperolehi markah jika betul kaedahnya. Persepsi Geografi masa kini bukan lagi sesukar masa dahulu.Sebenarnya kecermerlangan (Prinsipal A) boleh digenggam oleh pelajar. Pengalaman penulis sebagai pengajar membuktikan bahawa kelemahan utama pelajar ialah tidak boleh menbuat huraian (elebration) yang baik walaupun mampu mengemukakan isi/fakta yang bernas dan tepat. Justeru itu  apa yang penting ialah pelajar perlu rajin membuat latihan menjawab soalan khususnya aspek pengembangan isi dengan panduan yang telah diberikan, memperbanyakkan bacaan demi memperluaskan pengentahuan geografikalnya, mengadakan kumpulan perbincangan bagi memantapkan lagi ilmunya dan akhir sekali bertawakkallah kepada yang ESA. Saya yakin anda akan berjaya dengan cemerlang dan gemilang.




Kaedah MJK
(Kaedah Mudah Jawab Soalan Konsep)
1.0      Pengenalan.

       Sebelum menjelaskan lebih lanjut tentang kaedah mudah jawab soalan  bentuk konsep ini adalah lebih baik untuk diperjelaskan maksud perkataan konsep itu sendiri. Dalam Kamus Dewan perkataan konsep bermaksud pengertian am atau idea yang berdasarkan sesuatu. Oleh itu, untuk menjawab soalan ini jawapan seharusnya berdasarkan maksud secara ringkas dan tepat sesuatu perkara atau keadaan tertentu.

2.0      Mengapa kaedah ini penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran Geografi STPM.

        Soalan konsep merupakan soalan yang membawa markah  3 atau 4 atau 5 markah dalam peperiksaan STPM. Biasanya merupakan soalan bahagian (a) untuk mana-mana  8 soalan yang dikemukakan dalam kertas  peperiksaan sama ada kertas 1 dan 2. Walaupun hanya membawa markah 3 atau 4 atau 5 markah, bilangan bentuk soalan konsep ini  merupakan  bentuk yang acapkali ditanya dalam  kertas peperiksaan STPM.Oleh itu, ianya boleh membantu pelajar mendapat markah yang lebih baik. Untuk membuktikan kekerapan soalan tersebut di bawah ini diperturunkan jumlah soalan bentuk  tersebut untuk renungan para pembaca.

          Bagi kertas 1 tahun 2006 sebanyak 4 soalan dan 2007 sebanyak 5 soalan merupakan bentuk soalan konsep. Soalan tersebut ialah :

Kertas 1Tahun 2006,
·         Soalan 1 (a) Apakah yang dimaksudkan dengan sistem suria?
[4m]
·         Soalan 2(a) Jelaskan secara ringkas konsep hanyutan benua.
[5m]
·         Soalan 5 (a) Takrifkan tekanan udara.
[5m]
·         Soalan 7 (a) Apakah yang dimaksudkan dengan kerpasan?
[5m]

Kertas 1Tahun 2007,
·         Soalan 1(a) Apakah yang dimaksudkan dengan solstis musim sejuk?
[5m]
·         Soalan 2 (a) Apakah yang dimaksudkan dengan pemendapan sungai?
[5m]
·         Soalan 3 (a) Apakah yang dimaksudkan dengan profil pantai seimbang?
[5m]
·         Soalan 4 (a) Apakah yang dimaksudkan dengan atmosfera ?
[5m]
·         Soalan 5 (a) Apakah yang dimaksudkan dengan pemanasan global?
[5m]

           Begitu juga bagi kertas 2 tahun 2006 sebanyak 2 soalan dan 2007 sebanyak 3 soalan merupakan bentuk soalan konsep. Soalan tersebut ialah :

Kertas 2 Tahun 2006,
·         Soalan 2(a) Apakah yang dimaksudkan dengan industri asas tani?
[5m]
·         Soalan 7 (a) Apakah yang dimaksudkan dengan pengurusan alam sekitar?
[5m]
Kertas 2 Tahun 2007
·         Soalan 1 (a) Apakah yang dimaksudkan dengan migrasi antarabangsa ?
[3m]
·         Soalan 2(a)Apakah yang dimaksudkan dengan kadar pertumbuhan penduduk
[5m]
·         Soalan 5(a) Takrifkan transformasi desa.
[5m]

Soalan ini kerap kali sukar dijawab oleh calon kerana tidak menjawab dengan tepat dan ringkas. Acap kali calon menjawab dengan panjang lebar meliputi beberapa perenggan dan terlalu umum. Markah yang diperolehi antara 1 atau 2 sahaja, malahan ada yang tidak mendapat markah  lansung. Calon gagal memjawab mengikut  format yang sepatutnya ringkas dan padat .

3.0      Apa yang dimaksudkan dengan  kaedah MJK.

Berdasarkan dua sebab di atas iaitu merupakan  soalan yang acapkali ditanya dan  sukar dijawab oleh calon kerana tidak menjawab dengan tepat dan ringkas. Tidak dapat dinafikan kaedah MJK dapat membantu para guru dan pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran untuk memudahkan para pelajar memahami dan menjawab dengan tepat akan soalan  tersebut. Sebenarnya  terdapat tiga kaedah MJK yang boleh diamalkan. Kaedah ini membolehkan pelajar memahami dengan lebih mudah dan mendapat markah penuh.Empat kaedah mudah jawab soalan konsep itu ialah kaedah ABC, ABS dan ABK serta ACC.

3.1      Kaedah ABC.

           Kaedah ABC bermaksud A untuk apa, B untuk bagaimana dan C untuk contoh.  Oleh itu, dalam jawapan  pelajar seharusnya merangkumi ke tiga-tiga aspek ini iaitu apa, bagaimana dan contoh untuk mendapat markah penuh.

3.2      Kaedah ABS.

           Kaedah ABS bermaksud A untuk apa, B untuk bagaimana dan S untuk sebab. Oleh itu dalam jawapan pelajar seharusnya merangkumi ke tiga-tiga aspek ini iaitu apa, bagaimana dan sebab untuk mendapat markah yang baik.

3.3      Kaedah ABK.

Kaedah ABK bermaksud A untuk Apa, B untuk Bagaimana dan K untuk Kesan
Oleh itu, sama seperti dua kaedah di atas  dalam jawapan pelajar seharusnya merangkumi ke tiga-tiga aspek ini iaitu apa, bagiamana dan kesan.dah




3.4      Kaedah ACC.

Kaedah ACC bermaksud A untuk Apa, C untuk Ciri dan C untuk Contoh.Oleh itu untuk mendapat markah penuh , ketiga-tiga aspek ini perlu disentuh.

            Bagi memudahkan pemahaman para guru dan pelajar tentang perkataan ‘Apa’ ‘Bagaimana’, ‘Contoh’, ‘Kesan’ dan ‘ Sebab’  serta ‘Ciri  akan diperjelaskan maksudnya di ruangan ini. Sebenarnya ‘Apa’ dalam konteks kaedah ini membawa maksud apa yang ditanya tentang sesuatu perkara atau kejadian itu secara tepat. Manakala ‘ Bagaimana’ pula bermaksud dengan cara apa perkara dan kejadian itu berlaku mengikut proses tertentu dan bertepatan dengan kehendak sesuatu perkara dalam soalan yang ditanya.

             Selain itu,  ‘Contoh ‘ dalam konteks kaedah ini, membawa maksud contoh dari segi lokasi dan jenis sesuatu perkara atau kejadian itu. Perkataan ‘Sebab’ pula membawa maksud sebab berlakunya sesuatu perkara atau kejadian itu yang mana menyebabkan berlakunya sesuatu proses tertentu. Akhir sekali, perkataan ‘ kesan’ merupakan akibat yang terjadi jika sesuatu perkara  atau kejadian itu berlaku secara berleluasa dan berlebihan daripada kedaan yang sepatutnya berlaku. Di sini akan diperjelaskan beberapa contoh untuk memudahkan pemahaman pelajar untuk menjawab soalan berbentuk konsep.

4.0      Contoh- Contoh  Jawapan Mengikut Kaedah MJK.

4.1      Kaedah MJK – ABC.

Contoh 1 : Apakah yang dimaksudkan dengan luluhawa kimia.

            Luluhawa kimia  bermaksud proses pereputan dan penyepaian batuan di sesuatu tempat secara insitu oleh agen-agen atmosfera seperti hujan, suhu dan matahari contoh proses larutan, pengoksidan dan pengkarbonan.
Huraiannya,
Apa             :  proses perebutan dan penyepaian batuan di sesuatu tempat.
Bagaimana  :  secara insistu oleh agen-agen atmosfera seperti hujan, suhu dan
                       matahari.
Contoh       :  proses larutan, pengoksidan dan pengkarbonan.

Contoh 2  :  Apakah yang dimaksudkan dengan pergerakan jisim.

              Pergerakan jisim bermaksud proses pergerakan bahan regolit yang mengalami pengerakan ke bawah cerun secara besar-besaran disebabkan oleh pengaruh tarikan graviti dan air bertindak sebagai pelicin serta kekurangan litupan tumbuhan.Contoh kesotan tanih, tanah runtuh dan gelangsaran.
Huraiannya,
Apa            :  proses pergerakan bahan regolit yang mengalami pergerakan ke bawah
                      cerun.
Bagaimana :  secara besar-besaran disebabkan oleh pengaruh tarikan graviti dan air
                      bertindak sebagai pelicin serta kekurangan litupan tumbuhan.
Contoh       :  kesotan tanih, tanah runtuh dan gelangsaran.



4.2      Kaedah MJK – ABS.
     
Contoh  1 :   Apakah yang dimaksudkan dengan jerebu.

           Jerebu bermaksud partikel terampai di atmosfera  dalam ketebalan yang  tinggi. Partikal terampai ini terbentuk di dalam  keadaan  cuaca kering dan udaranya yang stabil yang menghasilkan  satu lapisan kabus nipis menyelimuti ruang atmosfera di sesuatu kawasan. Disebabkan aktiviti manusia dan faktor semula jadi seperti aktiviti perkilangan dan letusan gunung berapi.
Huraiannya,
Apa             :   Jerebu bermaksud partikel terampai di atmosfera  dalam ketebalan yang 
                       tinggi.
Bagaimana  :   Partikal terampai ini terbentuk di dalam  keadaan  cuaca kering dan
                        udaranya yang stabil yang menghasilkan  satu lapisan kabus nipis
                        menyelimuti ruang atmosfera di sesuatu kawasan.
Sebab          :   Disebabkan aktiviti manusia dan faktor semula jadi seperti aktiviti
                        perkilangan dan letusan gunung berapi.

Contoh 2  :   Apakah yang dimaksudkan dengan Pulau Haba.

           Pulau Haba bermaksud perbezaan suhu antara pinggir bandar dengan pusat bandar.Biasanya suhu lebih tinggit di pusat bandar berbanding dengan pinggir bandar yang disebabkan oleh pembakaran bahan api fosil dan bangunan tepu bina serta kekurangan litupan tumbuahan.
Huraiannya,
Apa              :     Pulau Haba bermaksud perbezaan suhu antara pinggir bandar dengan
                           pusat bandar.
Bagaimana   :     Biasanya suhu lebih tinggit di pusat bandar berbanding dengan pinggir
                           Bandar.
Sebab           :     yang disebabkan oleh pembakaran bahan api fosil dan bangunan tepu 
                           bina serta kekurangan litupan tumbuahan.


4.3      Kaedah MJK – ABK.

Contoh 1    :   Apakah yang anda tahu berkaitan dengan putaran bumi.

               Putaran bumi bermaksud bumi berputar  pada paksinya sendiri dengan kecondongan 23 ½ ° daripada satah tegak dari barat ke timur selama 23 jam 56 minit bagi satu pusingan 360 ° dengan kelajuan 1700  km/jam di khatulistiwa dan di kutub kelajuannya sifar.  Akibat kejadian ini, berlaku kejadian siang dan malam, perbezaan zon waktu dan fajar dan senja.
Huraiannya,
Apa                 :     bumi berputar  pada paksinya sendiri.
Bagaimana      :   dengan kecondongan 23 ½ ° daripada satah tegak dari barat ke timur
                            selama 23 jam 56 minit bagi satu pusingan 360 ° dengan kelajuan
                             1700  km/jam di khatulistiwa dan di kutub kelajuannya sifar. 
Kesan             :    Akibat kejadian ini, berlaku kejadian siang dan malam, perbezaan zon
                            waktu dan fajar dan senja.


Contoh 2       :     Apakah yang dimaksudkan dengan peredaran bumi.

Peredaran bumi bermaksud bumi beredar dalam satu orbit yang berbentuk bujur dengan kecondongan 66 ½ ° dalam masa 365 ¼ hari dengan kelajuan 107 280 km sejam mengikut lawan jam.  Kesannya menyebabkan berlaku kejadian empat musin dan kejadian siang dan malam yang tidak sama panjang.
Huraiannya, 
Apa            :     bumi beredar dalam satu orbit yang berbentuk bujur.
Bagimana   :     yang berbentuk bujur dengan kecondongan 66 ½ ° dalam masa 365 ¼
                         hari dengan kelajuan 107 280 km sejam mengikut lawan jam.
Kesannya   :     Kesannya menyebabkan berlaku kejadian empat musin dan kejadian
                        siang dan malam yang tidak sama panjang.

Contoh 3    :   Apakah yang dimaksudkan dengan sumber alam.

          Sumber alam bermaksud sumber semula jadi yang terdiri daripada semua bahan asli yang berada di dalam alam sekitar fizikal yang berguna dan bermanfaat bagi memenuhi keperluan atau kehendak manusia yang hidup di dalamnya.
Huraiannya,
Apa              :    Sumber alam bermaksud sumber semula jadi yang terdiri daripada
                          semua bahan asli yang bermanfaat kepada manusia.
Ciri               :    Terbahagi kepada dua jenis iaitu yang boleh diperbahaui dan tidak boleh
                         diperbaharui.
Contoh        :    

4.4          Kaedah ACC.

Contoh 1  : Apakah yang dimaksudkan dengan bandaraya global.

            Bandaraya global bermaksud bandar yang menempatkan pelbagai aktivti ekonomi yang bertaraf global, pusat pasaran saham sedunia,pusat kewangan dunia,persidangan antarabangsa,mercu tanda global,contohnya London, Tokyo, NewYork dan Paris.
Huraiannya,
Apa                :  bandar yang menempatkan pelbagai aktivti ekonomi bertaraf global.
Ciri                 :  pusat pasaran saham sedunia,pusat kewangan dunia,persidangan
                  antarabangsa,mercu tanda global.
Contoh           :  contohnya London, Tokyo, New York dan Paris  

Contoh 2    :   Apakah yang anda faham tentang pembangunan.

           Pembangunan ialah satu proses perubahan daripada tradisioal kepada moden melibatkan perubahan demografi, ekonomi, sosial,kualiti hidup dan perubahan politik disebabkan peningkatan jangka hayat, peningkatan pendapatan perkapita,                   meningkatnya kadar celik huruf.                  
Huraiannya,
Apa             :   perubahan daripada tradisioal kepada moden.
Ciri              :   perubahan domegrafi, ekonomi, sosial,kualiti hidup dan perubahan politik.
Sebab         :  peninkatan jangka hayat, peningkatan pendapatan pekapita,
                     meningkatnya kadar celik huruf.

 Contoh 3    :   Apakah yang dimaksudkan dengan sumber alam.

          Sumber alam bermaksud sumber semula jadi yang terdiri daripada semua bahan asli yang bermanfaat kepada manusia. Terbahagi kepada dua jenis iaitu yang boleh diperbaharui dan yang tidak boleh diperbaharui seperti air, hutan, gas asli dan bijih timah.
Huraiannya,
Apa              :    Sumber alam bermaksud sumber semula jadi yang terdiri daripada
                          semua bahan asli yang bermanfaat kepada manusia.
Ciri             :    Terbahagi kepada dua jenis iaitu yang boleh diperbaharui dan tidak boleh
                         diperbaharui.
Contoh        :     air, hutan , gas asli dan bijih timah.
               
5.0       Bagaimana para guru dan pelajar  boleh membuat pilihan atau menentukan sama ada menggunakan ABC, ABS dan ABK.

5.1    Cara menentukan penggunaan ABC.

            ABC, secara mudah amat sesuai digunakan untuk soalan konsep yang melibatkan soalan berkaitan proses  yang berlaku terhadap sesuau kejadian atau perkara . Misalnya pada contoh di atas melibatkan proses luluhawa kimia, pergerakan jirim dan bandar raya global.

5.2    Cara menentukan penggunaan ABS.

           Manakala ABS  pula merupakan kejadian atau fenomena yang  melibatkan berlakunya campur tangan aktiviti manusia, kebanyakannya berpunca daripada aktiviti manusia dan sedikit sebanyak juga berpunca daripada faktor semula jadi.Misalnya fenomena jerebu dan pulau haba serta pembangunan.

5.3    Cara menentukan penggunaan ABK.

             Manakala, ABK amat sesuai untuk menjawab soalan yang berkaitan dengan kejadian atau bahan semula jadi dan membawa kesan kepada manusia di bumi dalam melakukan aktiviti bagi meneruskan kelangsungan hidup. Contoh kejadian putaran bumi, peredaran bumi dan sumber alam.

5.4    Cara menentukan penggunaan ACC.

        Akhir sekali kaedah ACC. Kaedah ini ada keistimewaannya iaitu hanya digunakkan untuk menjawan soalan konsep dalam Geografi kertas 2.

6.0     Kesimpulannya.

Calon gagal memjawab mengikut  format yang sepatutnya ringkas dan padat . Dengan adanya panduan ini sedikit sebanyak dapat membantu pelajar menjawab soalan berbentuk konsep ini dan akan mendapat merkah yang lebih cemerlang dalam mata  pelajaran Geografi STPM.

No comments:

Post a Comment