Sunday, February 27, 2011

Geomorfologi Pinggir Pantai - Tindakan Ombak

Tindakan Ombak
            Bentuk pinggir laut sentiasa berubah disebabkan oleh tindakan ombak, pasang surut dan arus yang sentiasa berlaku di sini. Pada hari yang tenang apabila angin kencang tidak bertiup, maka ombak tidak banyak merosakkan pinggir pantai. Sebaliknya ombak itu mungkin akan membina pantai dan bentuk-bentuk pemendapan yang lain. Ombak paling banyak membinasakan pinggir pantai pada waktu ribut.
            Pasang surut dan arus yang melanda pantai tidak banyak melakukan kerosakan kepada pinggir pantai. Pasang surut mempengaruhi hakisan laut manakala arus pula membantu memindahkan puin-puin yang terhakis dan menimbunkannya sebagai kelodak pasir dan batu kelikir di sepanjang pantai.
            Ombak adalah agen hakisan dan pemendapan yang penting mengubah bentuk sesuatu pinggir laut. Ombak terjadi akibat tiupan angin di permukaan laut. Tiupan angin ini menyebabkan permukaan laut beralun. Alunan-alunan ini dipanggil gelombang. Tiupan angin yang kuat akan menghasilkan gelombang-gelombang yang lebih besar. Bila gelombang bertembung dengan kawasan daratan ia akan pecah dan menghasilkan ombak. Gelombang-gelombang juga akan pecah bila sampai ke kawasan yang cetek. Kekuatan hakisan ornbak bergantung kepada kedalaman air dan sifat batuan di pinggir laut. Di kawasan air yang cetek, gelombang-gelombang pecah sebelum sampai ke daratan sementara kawasan batuan keras adalah lebih kukuh menahan tindakan ombak.
            Hakisan ombak boleh berlaku melalui beberapa cara termasuk tindakan hidraul, lelasan, lagaan, perlanggaran dan larutan. Ombak yang melakukan hakisan dikenal juga sebagai ombak pembinasa.Tindakan hakisan ombak menghasilkan beberapa bentuk muka bumi pinggir laut.
            Ombak boleh bertindak sebagai agen pemendapan. Ombak ini dipanggil ombak pernbina. Bila tenaga ombak berkurangan atau lemah bahan-bahan terhakis akan dimendapkan. Pemendapan ombak berlaku sama ada di dalam lautan ataupun di kawasan pesisir. Kawasan pesisir adalah kawasan di antara air surut dan air pasang penuh. Pemendapan di kawasan pesisir menghasilkan pantai.
 
Cara-cara Hakisan Laut Berlaku
            Ombak merupakan kuasa hakisan laut yang kuat sekali dan terjadi disebabkan oleh tiupan angin di permukaan air yang membentuk satu siri alunan gelombang yang bergerak ke hadapan. Ha.l ini menyebabkan gelombang-gelombang ini menjadi lebih tinggi dan lebih deras. Ombak biasa di lautan lepas mungkin berukuran setinggi 6 m (20 kaki) sahaja (ukuran tegak di antara puncak dan lekung ombak) dan panjangnya 120 m (400 kaki), jarak gelombang atau jarak melintang di antara dua puncak ombak. Ukuran-ukuran ini akan bertambah bila ribut berlaku. Ini bergantung pula kepada kelajuan dan lamanya angin itu bertiup. Setibanya di perairan cetek dekat pinggir laut kelajuannya berkurangan dan ombak akan melengkung atau membias merentang jajaran pantai. Di perairan cetek, bila dalamnya kurang daripada ketinggian ombak, akan mengurangkan kemaraan ombak. Puncaknya akan bergulung dan memecah di pantai seperti kumpulan buih sebagai ombak pecah. Air yang menyerbu ke pantai dan menghempaskan puin-puin batu-batan ke daratan dinamakan damparan atau gedebur. Air itu akan turun semula ke laut sebagai ombak undur atau basuhan balik.. Satu lagi unsur hanyutan ke pinggir pantai ialah arus seret yang mengalir di bahagian dasar dari pinggir pantai ke laut. Arus ini mempunyai kuasa tarikan yang boleh membahayakan orang-orang yang mandi-manda di tepi laut.
            Ombak melakukan aktiviti hakisan di pinggir laut melalui beberapa cara iaitu :
l. Lelasan.
           Ombak yang mengandungi puin-puin batu-batan yang berbagai saiz dan bentuk akan menghempas dasar-dasar cenuram dan menghakisnya secara lelasan. Arus dan pasang surut akan menyempurnakan kegiatan ini dengan memindahkan bahan-bahan terhakis itu ke laut.
2. Hakisan laga.
           Ombak yang sentiasa melanda pinggir laut  itu membawa bahan-bahan yang terdapat di pantai yang berbagai bentuk dan saiz seperti batu tongkol, batu kelikir, batu lada dan pasir halus. Bahan-bahan itu  berlaga sesama sendiri lalu pecah menjadi serpihan-serpihan yang lebih kecil dan halus. Bahan-bahan yang dilagakan oleh ombak ke tebing cenuram dan sesama sendiri itu merupakan satu-satunya faktor utama yang telah menghasilkan pasir halus yang telah membentuk pantai-pantai yang biasanya merupakan tempat peranginan pantai yang baik.
3. Tindakan hidraul.
            Bila ombak memukul pantai, ombak ini mungkin memasuki celah-celah retakan dan rekahan batuan pada dinding-dinding cenuram. Udara yang terperangkap di dalamnya akan serta-merta menjadi mampat. Apabila ombak rnengundur semula, udara yang mampat ini mengembang dengan serta-merta dan terjadi suatu letupan. Proses ini berlaku secara berterusan menjadikan retakan-retakan semakin besar dan serpihan-serpihan batu-batan akan menjadi pecah.
4. Tindakan larutan.
            Di pantai-pantai batu kapur, tindakan air laut terhadap kalsium karbonat menyebabkan satu perubahan kimia berlaku pada batu kapur tersebut. Akhirnya batu-batan ini akan luluh.  Pembebasan karbon dioksida oleh rumpair menambahkan keasidan air laut dan membantu proses larutan.  Proses ini hanya berlaku di kawasan-kawasan pantai batu kapur sahaja.
5. Pelanggaran
            Pelanggaran air di kaki cenuram menghasilkan suatu daya yang kuat yang boleh menghancurkan muka cenuram tersebut.  Hakisan ombak ini boleh menghasilkan bentuk muka bumi seperti teluk dan tanjung, gua, batu tunggul dan tunggul sisa.
 
            Kadar hakisan laut bergantung kepada sifat batu-batuan, banyaknya bahagian-bahagian batuan yang terdedah kepada laut, kesan-kesan tindakan pasang surut dan arus serta struktur geologi. Pengaruh-pengaruh lain juga perlu dipertimbangkan. Umpamanya, pengaruh kegiatan gunung berapi, pengglasieran, pergerakan bumi dan pemendapan bahan-bahan organan di pantai.
 
Cara-cara mendapan Laut Berlaku
            Seperti agen-agen penggondolan yang lain, ombak juga melakukan proses pemendapannya. Pemendapan ombak berlaku di kawasan pinggir laut yang terlindung. Biasanya di pinggir laut begini, halaju ombak berkurangan kerana angin yang bertiup adalah lemah. Keadaan sedemikian menyebabkan terjadinya ombak membina. Ombak membina membawa beban dan dimendapkan di pinggir laut kerana damparannya lebih kuat daripada basuhan balik. Dengan itu, bentuk-bentuk muka bumi seperti pantai, tetanjung dan beting pasir terbentuk di pinggir laut.

No comments:

Post a Comment