Thursday, March 24, 2011

Nota - Hutan Hujan Topika



PENGENALAN
Definisi hutan
Istilah hutan merujuk kepada suatu formasi yang dikuasai oleh pokok. Biasanya perkataan ” hutan ” merujuk kepada tiga konsep yang berlainan.
1. Dirian pokok atau tumbuh-tumbuhan yang merupai pokok.
2. Seluruh komuniti tumbuh-tumbuhan dan haiwan yang dikuasai oleh pokok.
3. Seluruh sistem komuniti yang dikuasai oleh pokok yang berfungsi, termasuk substrat abiotik dan persekitaran atmosferanya.

Definisi hutan hujan
Hutan hujan dapat diistilahkan sebagai satu komuniti tumbuhan yang padat dengan pokok-pokok yang mempunyai adaptasi terhadap kelembapan di mana ia mempunyai daun-daun yang lebar walaupun saiz daun bukanlah ciri utama dalam pembentukan jenis hutan hujan. Lazimnya struktur hutan hujan terdiri daripada dua atau lebih peringkat pokok-pokok dan tumbuhan renek yang turut berinteraksi bentuk tumbuhan yang lain seperti pepanjat, palma dan episit.
Definisi hutan hujan tropika
Hutan hujan tropika merupakan jenis-jenis pembentukan tumbuh-tumbuhan yang bebas serta turut ditentukan oleh faktor alam sekeliling selain daripada kelembapan. Takrif hutan tropika juga merangkumi lingkungan habitat darat dan habitat separa darat yang luas di zon intertropika.
Lokasi hutan hujan tropika
Hutan hujan tropika terdapat di zon tropika di antara 23027 Utara dan 23027 Selatan. Pada masa kini kawasan-kawasan hutan di Semenanjung Malaysia adalah diwakili oleh hutan hujan tropika ini selain daripada hutan hujan tropika di Afrika, Latin Amerika, Amerika Selatan, Indo-Australia dan Asia Selatan.
Struktur hutan tropika pamah di Malaysia
Struktur hutan tanah rendah di Semenanjung Malaysia adalah satu profil yang berlapis. Lapisan-lapisan itu terdiri daripada pokok-pokok renjong, silara utama, tumbuhan tingkat bawah dan tumbuhan permukaan tanah.

Pengelasan hutan hujan tropika di Malaysia

Pokok-pokok di lapisan renjong dapat mencapai ketinggian 60 hingga 70m. Kebanyakan pokok-pokok ini adalah daripada famili Dipterocarpaceae dan Leguminosae. Diterocarpaceae sering dikaitkan dengan kumpulan pokok-pokok balak komersial di Malaysia seperti balau, cengal, kapur, keruing, meranti, merawan, mersawa dan seraya.
Lapisan silara utama pula terdiri daripada tumbuh-tumbuhan berbagai famili yang tingginya antara 20 hingga 40m. Misalnya, kedondong, kandis, penarahan dan kelat. Di tingkat bawah pula, terdapat pokok-pokok kecil dan palma yang hidup subur di bawah silara tersebut. Kumpulan tumbuhan sementara bagi lapisan hutan tingkat bawah terdiri daripada anak-anak pokok dan pokok muda. Di lantai hutan pula terdapat anak-anak pokok, palma-palma kecil, tumbuhan renek dan herba.
Hutan hujan tropika di Malaysia boleh dibahagikan kepada dua kelas iaitu hutan-campuran ( mixed forest ) dan hutan dominan tunggal ( single-dominant forest ). Hutan campuran seperti hutan Dipterokarpa tanah pamah terdiri daripada berbagai famili tumbuhan manakala hutan dominan tunggal dapat dilihat pada jenis hutan dominan tunggal spesies kapur ( Dryobalanops aromatica ) seperti yang terdapat di Kanching, Selangor. Ia adalah campuran spesies yang berbeza-beza dari segi komposisi flora dan ia berubah mengikut habitat. Pengelasan jenis-jenis kawasan hutan di Semenanjung Malaysia adalah berdasarkan kepada komposisi tumbuh-tumbuhan yang dominan di habitat-habitat tertentu ( Lampiran 3 ). Selain itu, jenis-jenis hutan di Malaysia boleh dikelaskan berdasarkan kepada beberapa faktor lain seperti pengaruh iklim, tanah dan biotik.
Dengan berdasarkan kepada ketinggian kawasan di atas aras laut, hutan ini juga boleh dikelaskan kepada hutan dipterokarpa pamah, hutan dipterokarpa bukit, hutan dipterokarpa atas, hutan oak-gunung dan hutan ericaceous gunung. Dipterokarpa merupakan kumpulan pokok-pokok berdamar famili Dipterokarpa yang terdapat di lapisan sudur hutan dan di bahagian silara utama hutan. Hutan dipterokarpa pamah meliputi semua hutan atau rimba di kawasan tanah dan di kaki-kaki bukit sehingga ketinggian 30m. Hutan dipterokarpa bukit pula adalah hutan di bukit-bukit antara ketinggian 30 hingga 762m manakala hutan antara ketinggian 762 hingga 1200m adalah hutan dipterokarpa atas. Hutan oak-gunung adalah hutan antara paras ketinggian 1200 hingga 1500m. Hutan yang melebihi 1500m adalah hutan ericaceous gunung.
Jenis-jenis hutan ini terjadi akibat daripada perbezaan komposisi tumbuh-tumbuhan flora dan struktur umum yang terkandung dalam hutan itu. Hutan dipterokarpa pamah dan hutan dipterokarpa bukit adalah jenis hutan tanah pamah tropika yang terbesar di dunia. Hutan dipterokarpa atas dan hutan oak-gunung pula merupakan pembentukan jenis hutan pergunungan rendah manakala hutan ericaceous ialah jenis hutan tropika pergunungan tinggi.
Hutan memainkan peranan yang penting dalam kehidupan seharian kita. Kegunaannya tidak lagi dinafikan oleh kita. Untuk melindungi hutan, kita harus sedar akan kepentingannya sebelum kita dapat menghayati dan menjaganya untuk generasi yang akan datang.

KEPENTINGAN DAN KEGUNAAN HUTAN HUJAN TROPIKA DI MALAYSIA
Hutan hujan tropika adalah satu khazanah yang berharga kepada semua orang di bumi ini tidak kira di mananya kita tinggal. Hutan memainkan peranan yang penting dalam menjaga nilai kehidupan alam sejagat. Hutan penting bukan sahaja sebagai tanah ladang yang berpotensi tetapi sebagai simpanan balak yang boleh dieksploitasi, sebagai sumber spesimen biologi yang baharu dan sebagai habitat bagi berbagai variasi flora dan fauna.
Hutan hujan tropika meliputi hanya 12% daripada jumlah kawasan dunia. Namun demikian ia adalah habitat semulajadi kepada hampir 50% hingga 90% spesies tumbuh-tumbuhan, haiwan dan serangga yang terdapat di dunia. Satu hektar tanah hutan hujan tropika di Malaysia mengandungi lebih daripada 180 jenis pokok. Di Semenanjung Malaysia, terdapat lebih daripada 8000 spesies tumbuhan berbunga, 200 spesies mamalia, 600 spesies burung, 115 spesies ular, 80 spesies cicak dan 100 spesies serangga telah direkodkan. Di Sarawak pula, 70% daripada kawasannya adalah diliputi oleh hutan hujan tropika. Ia menempatkan lebih daripada 8000 spesies flora dan 20000 spesies fauna. Hutan membekalkan makanan secara langsung atau tidak langsung kepada haiwan yang memakan buah-buahan, bijian, putik bunga, pucuk daun dan bahagian pokok lain. Selain itu, ia juga adalah satu habitat yang sesuai kepada burung-burung yang datang semasa musim sejuk.
Hutan adalah sebagai tempat perlindungan semulajadi bagi orang-orang asli di kawasan pedalaman hutan. Mereka dapat menyara hidup mereka melalui sumber hutan sejak beribu-ribu tahun dahulu. Kegiatan seharian mereka amat bergantung kepada hutan. Mereka memburu bukan sahaja untuk mendapatkan sumber makanan tetapi untuk mendapatkan pakaian dan tempat perlindungan. Contohnya, kumpulan etnik Bidayuh di Sarawak. Hutan adalah sumber pendapatan seharian mereka. Kebanyakan barang keluaran hutan seperti herba, gum
( damar ), sarang burung dan keladi dikumpulkan oleh mereka untuk dijual di pasaran urban sebagai sumber tambahan pendapatan kepada mereka. Justeru itu, masyarakat orang asli seperti suku kaum Batek di Hutan Simpanan Kuala Tahan, Taman Negara, masih berinteraksi secara langsung dengan khazanah hutan.
Hutan bertindak sebagai kawasan tadahan air dalam memelihara kualiti alam sekitar dengan menyerap dan menapis air hujan sebelum menyalurkannya ke sungai-sungai. Dengan itu, ia dapat memastikan bahawa bekalan air di negara kita tidak terputus sepanjang tahun.
Hutan juga bertindak sebagai penutup bumi semulajadi serta melindungi tanah-tanih daripada hakisan air dan angin. Pokok-pokok pula berfungsi sebagai pengikat dengan cara mencengkam tanah-tanih dengan akarnya. Kesemua ini dapat memelihara kualiti alam sekitar daripada dicemari dan mencegah kejadian-kejadian buruk seperti banjir kilat.
Hutan juga berfungsi sebagai bunga karang ( sponge ) yang berongga, menyerap air hujan dan mengalirkannya perlahan-lahan ke dalam anak-anak sungai bagi mengelak kejadian banjir daripada berlaku. Ia juga akan bertindak sebagai penapis dalam menentukan kebersihan dan kejernihan air secara tidak langsung. Kitar atau edaran hidrologi yang berlaku di kawasan-kawasan hutan akan memberi kesan kepada kualiti dan kuantiti sungai. Dari segi kuantitinya, ekosistem hutan berperanan sebagai ” regulator ” air dan mengawal kadar alirannya. Pada masa yang sama, silara pokok hutan berupaya mencegah atau menyerap air hujan antara 20 hingga 28%, di mana sebahagian besarnya akan kembali ke atmosfera melalui sejatan pepeluhan .
Kehilangan litupan hutan akan menyebabkan air hujan terus mengalir ke sungai-sungai dan mengakibatkan kejadian banjir kilat yang secara tidak langsung akan mendatangkan bencana kepada manusia.
Hutan juga berfungsi sebagai penstabil cuaca bumi dan hampir 70% daripada penawaran oksigen dunia adalah datangnya dari hutan hujan tropika. Semasa tumbuhan menjalankan proses fotosintesis , ianya menyerap karbon dioksida dan mengeluarkan oksigen pada masa yang sama . Ini diimbangi oleh pernafasan
(respirasi) tumbuhan dan haiwan serta aktiviti ungkaibina yang mengakibatkan penggunaan oksigen dan pengeluaran karbon dioksida melalui proses karbonisasi.
Pemusnahan yang berlarutan terhadap hutan akan menyebabkan berkurangnya penukaran karbon dioksida kepada organik karbon di udara. Peningkatan pemekatan karbon dioksida di udara akan mengakibatkan masalah pemanasan dunia terjadi. Ianya akan mempengaruhi pengurangan kadar gas dan secara tidak langsung mempengaruhi ketebalan lapisan ozon yang terdapat di atmosfera. Kehadiran gas-gas seperti karbon dioksida, Chlorofluorocarbons ( CFCS ), methane, tropospheric ozone dan nitrid oksida di atmosfera akan menyekat pelepasan tenaga sinaran daripada permukaan bumi dan menyebabkan suhu meningkat sehingga berlakunya fenomena kesan rumah hijau.
Hutan juga berfungsi sebagai agen pembersih udara melalui proses fotosintesis. Wap air yang dibebaskan melalui proses tersebut dapat menolong melembab dan menyamankan udara. Selain itu, hutan juga berupaya mengawal bahan cemar yang terapung di udara apabila pencemaran tidak begitu tinggi. Ini memandangkan permukaan dalaman daun adalah lebih besar dan mampu menyerap bahan pencemaran dengan lebih berkesan. Contohnya, hutan mampu memerangkap unsur plumbum yang tinggi di udara dan menyimpannya di dalam tanah.
Hutan adalah sebagai sumber bahan mentah . Hutan merupakan tempat asal bagi kebanyakan tanaman makanan manusia dan haiwan. Makanan yang kita guna seharian adalah berasal dari hutan hujan tropika. Antaranya termasuklah kopi, buah-buahan dan rempah. Hutan hujan tropika di Semenanjung Malaysia adalah habitat asal beberapa pokok buah-buahan tempatan seperti manggis (Garcinia mangostana) dan rambutan
(Hephelium lappaceum). Selain itu, buah-buahan seperti limau, pisang , betik, manggo dan nanas secara asalnya adalah berasal dari hutan hujan tropika. Tumbuh-tumbuhan seperti halia, lada hitam, vanila, cengkih, kayu manis, buah pala dan lada juga tumbuh secara liar di hutan hujan tropika pada mulanya .
Hutan juga adalah gedung penuh dengan pokok-pokok yang mempunyai nilai-nilai perubatan. Secara anggarannya, satu perempat daripada prekripsi dadah adalah bersumber daripada tumbuhan yang terdapat di hutan hujan tropika. Ini telah meningkatkan kegunaan tumbuhan tempatan terutamanya dari hutan dalam bidang perubatan. Contohnya ubat anti-Malaria dan kuinin. Kebanyakan daripada tumbuh-tumbuhan hutan hujan tropika mengandungi nilai-nilai perubatan terutamanya dari bahagian-bahagian batang, akar, pucuk, daun dan ubi. Pemakaian bahan ubat yang dihasilkan daripada tumbuh-tumbuhan berbeza mengikut sifat penyakit yang diubati. Biasanya ia dapat mengubati penyakit yang akan membawa kepada maut seperti penyakit kuning. Misalnya dalam kegunaan perubatan tradisional, masyarakat Melayu meminum air rebusan Tongkat Ali ( Eurycoma longifolia dan E.apiculata ) sebagai sejenis tonik kesihatan untuk ibu-ibu selepas bersalin. Orang-orang asli pula menggunakan bahagian kulit akar Tongkat Ahli bagi mengubati demam cacar
(smallpox) manakala serbuknya pula digunakan bagi merawat luka atau bisul serta bagi meredakan deman malaria .
Di antara spesies-spesies tumbuhan lain yang sering dikaitkan dengan nilai perubatannya termasuklah daripada jenis selusuh Fatimah / kacip Fatimah ( Labisia sp. ), mempisang ( Goniothalamus sp.) dan medang
(Cinnamomum sp.). Bunga pakma ( Rafflesia hasselti ) pula dikatakan mengandungi nilai perubatan turut mendapat harga yang tinggi di pasaran .
Hutan hujan tropika juga dapat menampung sumber bahan getah, damar, resin, pencelup dan bahan-bahan dasar pengeluaran minyak yang mempunyai nilai dagangan yang tinggi. Di antara contohnya ialah bahan-bahan seperti getah daripada pokok jelutong ( Dyera costulata ) pernah digunakan dalam pengeluaran gula getah pengunyah ( chewing gum ). Minyak pokok keruing gondol ( Dipterocarpus kerrii ) pula digunakan sebagai bahan asas dalam pemprosesan minyak wangi tempatan.
Sumber kayu-kayan hutan hujan tropika di Malaysia kaya dengan taburan berbagai spesies pokok-pokok balak komersial negara seperti merbau, bitis, nyatoh dan kempas yang bernilai tinggi. Ini menjamin bekalan sumber kayu-kayan di negara kita untuk tujuan kegunaan tempatan mahupun untuk dieksportkan. Selain itu, kepelbagaian flora dan spesies kayu-kayan telah membolehkan industri yang berasaskan kayu untuk menggunakan spesies-spesies kayu dijalankan secara lebih meluas.
Sektor perhutanan adalah satu sumber pendapatan negara yang penting. Ia memainkan peranan dalam pembangunan sosio-ekonomi negara dari segi pendapatan pertukaran asing, hasil kerajaan, pelaburan dan pekerjaan. Antara Januari hingga September 1990, nilai eksport balak dan barangan kayu adalah RM 2.1 billion atau 40% daripada jumlah pendapatan eksport negara. Jumlah pelaburan industri berasaskan kayu bagi tempoh tersebut adalah melebihi RM 967 juta. Punca-punca eksport sektor perhutanan adalah terdiri daripada kayu gergaji, papan lapis, kayu kumai, venir dan perabot. Jumlah hasil hutan yang dipungut daripada royalti, premium dan sumber-sumber lain seperti hukuman, denda dan pampasan berkaitan dengan perhutanan, lesen dan perkhidmatan perhutanan pula bernilai RM 203 juta. Selain itu, ia juga menawarkan pekerjaan lebih daripada 62800 orang sama ada dalam kegiatan pembalakan atau kegiatan hiliran seperti kilang papan dan perabot pada tempoh itu kepada penduduk tempatan.
Hutan juga adalah penting sebagai sumber keluaran hasil hutan bukan kayu yang mempunyai kegunaan yang berlainan. Ia termasuklah rotan, buluh, mengkuang dan pandan, tumbuh-tumbuhan pewarna, damar dan lain-lain.
Rotan adalah hasil hutan bukan kayu yang terpenting di Semenanjung Malaysia. Ia telah menjadi satu perusahaan yang penting yang tertumpu di kawasan luar bandar. Ia lebih tertumpu kepada aktiviti-aktiviti pengeluaran perabot bagi pasaran tempatan dan melibatkan aktiviti mengeksport barangan rotan separa proses dan siap. Manau ( Calamus manan ) adalah rotan yang paling popular diperdagangkan dan berharga tinggi.
Terdapat 28 genera dengan 150 spesies palma asli di Malaysia. Bagaimanapun penekanan dan penggunaan
nya hanya terhad bagi jenis-jenis palma yang popular seperti rumbia, nipah dan bertam sahaja.

Nipah ( Nypa fruticans ) tumbuh di sepanjang tebing-tebing sungai seluruh Semenanjung Malaysia. Daun-daunnya boleh digunakan untuk membuat atap dan barangan kraf manakala daun-daun muda yang masih belum terbuka (anak daun) digunakan bagi membuat kertas pembalut tembakau rokok.
Buah-buahnya pula boleh dimakan sementara tangkainya boleh diperah bagi mendapatkan nira (palm-wine).
Rumbia atau sagu ( Metroxylon sagu ) dan ( M.rumphii ) ialah jenis palma yang lebih besar dan hidup di paya-paya air tawar. Ianya merupakan bahan utama dalam pembuatan tepung sagu daripada bahagian dalam batangnya. Daunnya pula boleh disisir menjadi atap dan dinding rumah. Isi batangnya juga berguna sebagai bahan makanan kepada binatang ternakan seperti ayam dan itik.
Bertam (Eugeissona tristis) adalah tumbuhan yang hidup di merata hutan pedalaman di Semenanjung Malaysia. Bertam juga boleh dijadikan atap. Buahnya kadang-kala diukir untuk dijadikan barang hiasan.
Buluh merupakan sejenis tumbuhan yang tergolong dalam famili rumput (Gramineae). Penggunaan buluh adalah lebih meluas. Ini disebabkan sifat batangnya yang ringan, seragam, tegar dan mudah diperolehi. Dengan penggunaan mesin-mesin pemprosesan, industri barangan berasaskan buluh dapat dikembangkan menjadi perusahaan yang lebih berdaya maju. Misalnya, Kedah merupakan negeri yang terbanyak mengeluarkan buluh semantan (Gigantochloa scortechinii). Rebung-rebung buluh terutamanya buluh betung (Dendrocalamus asper) dan beting (Gigantochloa levis) yang hidup liar atau ditanam boleh dijadikan sumber makanan yang berzat.
Tumbuh-tumbuhan pewarna yang paling berharga di Semenanjung Malaysia ialah daripada spesies sepang
(Caesalpinia sappan) yang digunakan untuk mewarnakan pandan, tikar, sutera, kapas dan benang. Ia juga digunakan sebagai pewarna bahan makanan. Tumbuh-tumbuhan pewarna lain ialah mengkudu (Morinda sp.), merbau ( Intsia sp. ), sena (Pterocarpus indicus) dan akar kunyit (Fibraurea chloroleuca). Di samping kulit bakau, kulit pokok punggai (Coelostegia griffithii), bayur (Pterospermum sp.), ketapang (Terminalia sp.), rhu (Casuarina sp.) dan rengas juga boleh digunakan bagi menghasilkan bermacam-
macam warna.
Damar dikutip daripada pecahan atau luruhan kulit batang bagi membuat andang, pemetik api dan pemampal bahagian-bahagian perahu dan perabot. Damar Mata Kucing yang dihasilkan daripada spesies merawan
(Hopea sp.) dan Damar Perak yang dihasilkan daripada spesies cengal (Neobalanocarpus heimii) lazimnya digunakan dalam industri penggilapan dan pembuatan kertas. Agathis borrensis pula adalah pokok damar minyak yang digunakan sebagai kemenyan dalam upacara keagamaan dan rawatan tradisional, lampu penyuluh, pemetik api, penampal bahagian bot yang bocor dan juga sebagai asap penghalang nyamuk. Ia juga dieksport khususnya bagi pembuatan bahan penggilap gred tinggi dan pelekat selain digunakan dalam pemprosesan kulit haiwan.
Hutan juga adalah sumber getah yang penting. Misalnya, getah gutta-perca yang didapati daripada pokok nyatoh taban merah (Palaqquim gutta) mempunyai ciri-ciri sebagai salah satu bahan bukan konduktor kuasa panas atau elektrik. Getah ini tidak menganjal dan akan bertukar menjadi plastik apabila dipanaskan pada suhu 820C (1800F) dengan mengekalkan bentuk yang digubah ketika ianya masih panas. Bahan ini mempunyai beberapa kegunaan teknikal seperti membuat pemegang alat-alat pembedahan, bola-bola golf, bahan penampal sementara gigi dan penutup corong-corong kegunaan di makmal-makmal kimia.
Sebelum tanaman pokok-pokok getah (Hevea brasiliensis) diperkenalkan di Semenanjung Malaysia, sumber-sumber getah asli diperolehi daripada pokok-pokok hutan tropika terutama daripada tumbuhan pepanjat seperti akar-akar gerit daripada famili Apocynacease. Di antara genera-genera pepanjat daripada famili ini yang menghasilkan getah ialah Willughbeia, Leuconotis, Chilocarpus dan Melodinus .
Buah dan biji-bijian liar yang terdapat di hutan Semenanjung Malaysia menjadi sumber makanan fauna dan manusia. Di antara buah-buahan hutan yang dijual di pasar-pasar tempatan adalah macang (Mangifera foetida ), jambu ( Eugenia sp. ), durian ( Durio sp. ), sentul ( Sandoricum koetjape ), rambutan ( Nephelium sp. ), langsat ( Lansium domesticum ) dan manggis ( Garcinia mangostana ). Daun-daun asam gelugor ( Garcinia atroviridis ) dan cemperai ( Champereia manillana ) pula boleh dijadikan sayur-sayuran sementara biji-biji buah hutan seperti petai ( Parkia speciosa ) dan jering ( Pithecelobium jiringa ) pula boleh digulai atau dijadikan ulam. Enau yang dikenali sebagai kabong ( Arenga pinnata ), sejenis palma besar yang hidup di pinggir hutan dapat dijadikan sumber gula yang boleh dimasak bersama-sama santan kelapa dan gula Melaka. Kini sumber pemakanan dari hutan telah mula mendapat pasaran yang tinggi sebagai salah sumber makanan tempatan.
Berbagai bahan daripada binatang-binatang di hutan menjadi buruan kepada mereka yang ingin memilikinya sama ada untuk hiasan atau sebagai sumber dagangan yang lumayan. Di antara barangan berasaskan haiwan dan haiwan-haiwan yang diburu ini termasuklah gading gajah, kulit harimau, badak, harimau bintang, tapir, sambur, pelanduk dan burung. Tahi atau najis kelawar dipungut untuk digunakan sebagai baja asli. Selain daripada itu, lilin lebah dan sarang burung layang-layang juga dipungut sama ada untuk tujuan makanan atau perubatan.
Beberapa jenis tumbuh-tumbuhan di hutan mengandungi unsur-unsur racun yang dapat mengakibatkan kemudaratan jika tersalah penggunaannya. Sesetengah tumbuh-tumbuhan mempunyai bulu atau duri halus yang boleh mengakibatkan gatal dan lecur pada kulit manusia. Walaupun demikian, terdapat beberapa tumbuh-tumbuhan digunakan sebagai tuba untuk menangkap ikan, racun serangga dan menghalau atau menghindari serangan anai-anai. Di antara tumbuh-tumbuhan yang sering digunakan sebagai tuba termasuklah Derris elliptica ( tuba ), Anamirta cocuculus ( kris ), Diospyros wallichi ( tuba buah ) dan Barringtonia scortechinni ( putat tuba ). Racun ipoh yang didapati secara menoreh kulit pokok ipoh ( Antiaris toxicaria ) paling terkenal sebagai racun untuk menyumpit atau mengumpan haiwan buruan di kalangan Orang Asli.
Minyak-minyak daripada sayur-sayuran terdapat secara semulajadi dalam buah-buahan dan biji-bijian tumbuh-tumbuhan. Kebanyakan daripada minyak-minyak kini boleh dimakan. Contohnya minyak daripada pokok sengkawang dan ketapang. Terdapat sumber-sumber minyak daripada tumbuhan. Contohnya penaga yang boleh digunakan untuk membuat bahan-bahan seperti sabun, cat dan lilin.
Minyak bauan asli ialah sejenis minyak yang meruap dan terdapat lazimnya pada pada bahagian-bahagian kulit, akar, daun, buah atau bunga tumbuh-tumbuhan. Minyak-minyak ini berperisa enak dan berbau harum. Di antara jenis-jenis tumbuh-tumbuhan yang sering dimanfaatkan sebagai bahan dasar di dalam penghasilan minyak bau-bauan ini adalah kenanga, bunga tanjung dan keruing gondol. Penaga dan pulasari pula adalah di antara jenis-jenis tumbuh-tumbuhan yang digunakan di dalam pembuatan bahan perisa dan haruman bahan makanan serta penyediaan ubat-ubatan.
Kawasan hutan yang terdiri daripada pelbagai jenis pokok, palma, pokok renek, herba dan paku-pakis yang berpotensi untuk didomestikasikan, dipilih dan dipopularkan sebagai spesies tumbuhan yang sesuai bagi kegunaan hiasan dan senitaman. Keunikan sifat tumbesaran dengan bunga-bunga yang beranika bentuk, warna dan keharuman bau adalah ciri-ciri istimewa yang terdapat pada kebanyakan tumbuh-tumbuhan kita. Pokok-pokok tempatan seperti medang ( Cinnamomum sp. ), penaga ( Mesua sp. ), palma-palma palas ( Licuala sp. ), pinang hutan ( Pinanga sp. ), pokok-pokok renek delek ( Anisophyllea sp. ), herba-herba setawar ( Costus sp. ), lumbah
( Curculigo sp. ) dan berbagai spesies paku-pakis adalah merupakan antara tumbuhan hutan spesies tempat yang mampu menawarkan kesan yang lebih berkesan bagi kegunaan hortikultur hiasan dan senitaman di negara kita.
Selain itu, hutan adalah suatu sumber tanah yang penting. Memandangkan kawasan hutan adalah luas, maka dengan pembukaan hutan yang terancang, kawasan hutan berpotensi untuk berbagai kegunaan seperti ladang ternak, tapak penempatan baru, kawasan ladang baru atau sebagai tapak untuk kegiatan rekreasi dan pendidikan.
Dengan adanya hutan, ia telah memudahkan kajian-kajian terhadap flora dan fauna. Walaupun berbagai spesies flora dan fauna telah dijumpai, namun masih terdapat banyak lagi yang belum dikenali nama. Kehadiran hutan membolehlkan penerokaan ilmu secara berkekalan .
Hutan juga dijadikan sebagai tempat ideal untuk hutan simpanan bagi pertumbuhan semulajadi flora dan fauna. Dengan kepupusan sesetengah haiwan dan tumbuhan, hutan simpan adalah langkah penting untuk menjamin populasi sesuatu flora dan fauna daripada diancam dan mengalami kepupusan.


Kesimpulan
:
Jelas bahawa hutan adalah unsur penting untuk membentuk ciri-ciri alam semulajadi, menyediakan berbagai keperluan asas kepada kehidupan haiwan dan manusia. Hutan tropika mungkin mengandungi hampir separuh daripada spesies haiwan dan tumbuh-tumbuhan di dunia, termasuk beberapa banyak genus dan famili yang masih belum lagi diketahui.
Terdapat beberapa banyak contoh struktur tumbuh-tumbuhan dan tingkah laku haiwan yang tidak wujud di zon iklim sederhana, termasuk pertalian ekologi dan fisiologi yang khusus antara tumbuh-tumbuhan, haiwan, mikroorganisma dan persekitarannya pula terdapat di hutan tropika.
Tetapi pembangunan pesat yang berlaku telah mengancam kedudukan dan keadaan semulajadi di hutan. Ini telah mengancam kepentingan hutan dari segi ekonomi setempat dan perdagangan sedunia. Jika pemusnahan hutan terus berlaku, dua pertiga daripada spesies di hutan hujan tropika akan pupus sebelum kita berjaya menemuinya menjelang 2025.
Oleh itu, kesedaran perlu diwujudkan tentang betapa pentingnya hutan. Pengawalan perlu dilakukan melalui pembentukan undang-undang dan kerjasama daripada semua pihak bagi membendung pemusnahan hutan yang berterusan serta melindunginya sebagai suatu khazanah yang penting untuk generasi yang akan datang.


1 comment:

  1. Bagus!Informasi yang sangat lengkap. Boleh saya ambil sedikit maklmuat untuk anak-anak pelajar geografi saya...?

    ReplyDelete